Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

20 Mac 2011

Akhirnya...Bukan Islam TETAP TAK BOLEH


Permohonan Victoria Jayaseele jadi peguam syarie ditolak

KUALA LUMPUR 17 Mac - Impian seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin (gambar) untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila permohonannya itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini.

Hakim Datuk Rohana Yusuf ketika memutuskan permohonan tersebut berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh mengenakan syarat untuk menjadi peguam syarie dan ia tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya menurut beliau, ia merupakan satu kemestian bagi memastikan perwakilan perundangan menjadi lebih efektif dan niat Parlimen adalah jelas bahawa syarat kemasukan peguam syarie tertakluk di bawah peraturan MAIWP.

Hakim tersebut berkata, peruntukan Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, tidak bercanggah dengan Artikel 5, 8(1) dan 8(2), dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak ultra vires (melampaui batasan undang-undang).

Kaedah 10 itu menurut Hakim Rohana, telah dibuat berdasarkan ruang lingkup perundangan MAIWP yang memberikan kuasa kepadanya untuk menerima sesiapa sahaja mengikut budi bicara itu.

Bagaimanapun kuasa tersebut tertakluk di bawah Kaedah 10(2) dengan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Syarat kelayakan tersebut bagi Hakim Rohana, untuk memastikan keberkesanan para peguam syarie dan bukannya menghilangkan peluang Victoria untuk menjadi seorang peguam cara dan peguam bela.

Pada 19 Mei tahun lalu, Victoria yang memperoleh Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil itu selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak oleh MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.

Ini kes pertama di ibu negara seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam boleh bertugas sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Tiada ulasan: