Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

27 Jun 2008

Politik...politik...politik


Tajuk politik atau lebih tepat lagi "Pembangunan Politik dalam konteks Hubungan Etnik di Malaysia" adalah antara sebahagian daripada kandungan kursus Hubungan Etnik di IPT. Dalam suasana politik negara kita sekarang, para pelajar nampaknya sekarang bersemangat untuk berbincang berkaitan tajuk ini terutama segala isu yang berkaitan dengan PRU 12. Tidak ada lagi rasa ragu dan bimbang dalam membincangkan isu berkaitan politik. Boleh dikatakan kebanyakannya mempunyai kepekaan terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara ini. Berdasarkan penelitian, PRU 12 banyak persamaan dengan PRU 1969, jadi secara tidak langsung membuka minda dan kesedaran pelajar tentang isu seperti kontrak sosial, ketidakseimbangan ekonomi, toleransi antara kaum, tuntutan etnik2 tertentu dan sebagainya. Saya tak tahulah bagaimana suasana pembelajaran di IPT yang terdiri dari pelbagai kaum membincangkan tajuk ini, tapi saya rasa lagi hebat. Semoga pelajar IPT lebih terbuka mindanya dan tidak hanya memikirkan diri mereka sahaja dan tidak memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling.

18 Jun 2008

Nota Kaki

Malay College Kuala kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905, sebuah sekolah berasrama penuh, khususnya untuk anak-anak Melayu peringkat atasan atau elit bertujuan untuk melahirkan para cendekiawan Melayu dalam usaha untuk melahirkan pegawai-pegawai tadbir Melayu. Kelahiran penuntut-penuntut Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris ini kemudiannya mencorakkan perjalanan sejarah pemikiran alam Melayu. Dasar Pendidikan British di Tanah Melayu sebelum perang telah disifatkan sebagai dualistik kerana mengkhaskan pendidikan Inggeris bagi golongan elit manakala pendidikan vernakular dianggap sesuai bagi orang ramai. Ia bertujuan untuk mewujudkan jurang perbezaan di dalam masyarakat Melayu agar memudahkan pihak penjajah meluaskan pengaruh serta pegangan mereka di Tanah Melayu

15 Jun 2008

Fikirkan Bersama

Disini saya ingin memetik tulisan rencana daripada Utusan Malaysia yang berkaitan dengan hubungan etnik.


Hubungan etnik sampai bila akan bercantum
Oleh ANUAR AHMAD (Utusan Online- 8/5/2008)

MENELITI perkembangan perpaduan kaum di Malaysia, kita sekarang sedang memasuki gelombang ketiga. Walaupun kewujudannya masih baru tetapi kehadiran gelombang ketiga ini semakin dirasai oleh ahli masyarakat khususnya di kalangan kumpulan muda.
Kadangkala apabila anak-anak muda tidak begitu mementingkan rasa etnosentrik etniknya, hal ini dirujuk oleh golongan tua sebagai orang muda sudah lupa dan lalai, tidak sayangkan bangsanya serta berbagai lagi.
Mungkin ada benarnya tetapi kita juga harus memahami cita rasa orang muda bukan sahaja berubah dalam pemilihan makanan, cara berpakaian tetapi juga di dalam hal yang berkaitan dengan politik, pekerjaan serta perpaduan kaum.
Masyarakat Tanah Melayu pada satu ketika dulu di era prakolonialisme memahami dan mengamalkan perpaduan etnik dalam bentuk homogeni. Kerajaan Melayu misalnya, telah berjaya melaksanakan dasar bahasa sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa untuk semua.
Oleh itu, para pedagang China dan India serta Arab berusaha menguasai bahasa Melayu apabila berada di Tanah Melayu khususnya Melaka, malah bahasa Melayu pernah dikenali sebagai bahasa lingua franca pada satu masa dahulu. Inilah gelombang pertama apabila kita bercakap soal perpaduan kaum dan hubungan etnik di Malaysia.
Semasa penjajah meninggalkan Tanah Melayu, mereka telah pun menanamkan dengan begitu kuat bentuk perpaduan kaum yang direka bentuk sebelumnya untuk tujuan dan kepentingan mereka. Berbagai dasar diperkenalkan hingga setiap etnik tidak perlu berinte- raksi antara satu sama lain, tetapi terus merujuk kepada pengawai kolonial bila memerlukan sesuatu.
Maka dasar-dasar keselamatan, ekonomi, pentadbiran, migrasi serta tanah dibentuk mengikut keperluan setiap etnik. Pengamalan ini pernah disebut oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin, sebagai pembentukan Ilmu Kolonial yang menyerap dan memenuhi ruang epistemologi masyarakat Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya.
Ilmu kolonial kemudiannya telah diwariskan kepada para pemimpin Tanah Melayu. Oleh kerana Malaysia mendapat kemerdekaan secara rundingan dan proses ke arah kemerdekaan berjalan dalam suasana yang baik tanpa pertumpahan darah maka tiada rasa dendam dan benci yang membara. Hampir seluruhnya ilmu kolonial ini diterima pakai dalam menguruskan sebuah negara merdeka misalnya sistem berkerajaan, pilihan raya, pendidikan ekonomi, dan sebagainya menggunakan sepenuhnya pemikiran dan model penjajah.
Sistem
Penerimaan ilmu kolonial ini juga terbawa-bawa semasa kita menguruskan hubungan etnik di negara ini. Kita mengekalkan sistem pendidikan vernakular sebagai identiti utama sistem pendidikan kebangsaan, kita juga menerima pakai konsep pengagihan ekonomi yang berasaskan perkauman. Sejak itu juga rakyat diajar bahawa perpaduan bermaksud setiap kumpulan etnik hidup di dalam ruang dan menjalankan kehidupan mereka sendiri dan tidak perlu berinteraksi dengan etnik lain.
Sekarang, petunjuk bahawa kita sedang memasuki gelombang ketiga hubungan etnik di Malaysia semakin dirasai. Pilihan Raya Ke-12 baru-baru ini jelas menunjukkan faktor etnik bukan lagi asas untuk pengundi membuat keputusan. Parti berasaskan etnik tidak lagi sepopular dulu tetapi rakyat mula memilih parti multietnik.
Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Jabatan Perpaduan Negara seharusnya melipatkan usaha untuk memimpin ruang gelombang ketiga ini demi menguruskan secara berkesan hubungan etnik.
PersembahanMasyarakat muda khususnya dahagakan maklumat bukan sahaja berkaitan kaumnya tetapi juga maklumat berkaitan kaum-kaum utama di negara ini. Persembahan maklumat jangan pula dibentangkan dalam bentuk yang asas sahaja tetapi memerlukan analisis serta persembahan fakta agar bentuk yang kritis. Ciri kedua, maklumat ini seharusnya telus, beretika serta boleh dipertanggungjawabkan.
Ciri ketiga ialah meningkatkan tahap pengetahuan tentang sejarah kontrak sosial dan mengapa kontrak ini diamalkan di dalam sebuah negara merdeka seperti Malaysia. Kontrak sosial ini perlu diterangkan secara jujur kepada semua kaum supaya kumpulan yang mendapat nikmat ini tidak menyalahgunakan.
Meninjau senarai kurikulum matapelajaran di dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pelajar hanya mula belajar berkaitan hubungan etnik apabila berapa di tahun pertama di universiti. Sepatutnya tiga komponen utama pendidikan etnik iaitu sejarah setiap etnik, kontrak sosial dan sensitiviti setiap etnik telah dilaksanakan di peringkat sekolah lagi.
Keadaan ini bagaimanapun tidak berlaku. Pada peringkat sekolah rendah mereka bukan sahaja tidak diajarkan tentang hubungan etnik dan bagaimana hidup bersama, tetapi atas rasa etnosentrik yang tebal, anak-anak kecil ini telah diasingkan berdasarkan jenis sekolah.
Selama enam tahun yang pertama di sekolah rendah mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman yang kuat untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik yang lain.
Di peringkat sekolah menengah, sehingga kini tiada kurikulum yang jelas untuk mengajar hubungan etnik. Malah mata pelajaran Sejarah yang diajarkan bersifat Melayu-sentrik, tidak juga diterapkan nilai-nilai perpaduan kerana kesuntukan waktu dan guru tiada kemahiran secara konsisten untuk melaksanakannya. Mata pelajaran sejarah juga tidak memberikan ilmu berkaitan budaya setiap kumpulan etnik yang bersifat semasa, tetapi membincangkan sejarah masyarakat era abad 18 dan awal abad 19 di mana hubungannya dengan kehidupan pelajar adalah sangat jauh.
Apabila sampai ke universiti, baru para pelajar diajarkan ilmu hubungan etnik. Mereka perlu mengambil kursus Modul Hubungan Etnik yang ditawarkan secara wajib di semua universiti. Mungkin sudah agak lewat untuk perlaksanaannya kerana secara psikologi pelajar telah mempunyai identiti, tabiat serta kelakuan yang agak kekal. Oleh itu, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu melihat semula isi kandungan pendidikan hubungan etnik ini. Demi kemajuan dan kestabilan negara, anak-anak seharusnya diberikan ilmu hubungan etnik seawal mungkin. Mungkin membina dasar baru untuk satu aliran sekolah kebangsaan akan mengambil masa yang lama atau mustahil tetapi sekurang-kurangnya usaha untuk menghidupkan pendidikan hubungan etnik di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Ringkasan penting


Ini adalah antara perkara yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar. Saya selalu berkata kepada pelajar saya bahawa satu hari ini caj 3% PTPTN tetap akan berubah. Masa dan keadaaan akan mengubah peraturan yang ada. jadi, tunggu dan bersabarlah. Mereka selalu merungut tentang caj yang dainggap tinggi dan membebankan itu. Mudah-mudahan keputusan muktamad akan dicapai tidak lama lagi tentang jumlah sebenar penurunan caj tersebut. Berikut antara petikan akhbar mengenai perkara berkaitan.

1. Turunkan caj perkhidmatan (Utusan Online)
Turunkan caj perkhidmatan. KUALA LUMPUR 9 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menurunkan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan ke atas peminjam dalam masa terdekat bagi mengurangkan bebanan mereka.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, kementeriannya 10/06/2008

2. Caj perkhidmatan PTPTN turun 50 peratus? (Utusan Online)
Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA 13 Jun - Kerajaan membayangkan penurunan sebanyak 50 peratus kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas setiap peminjamnya.
Caj perkhidmatan yang dikenakan sehingga kini ialah tiga peratus dan ia bertujuan menampung kos pengurusan, pentadbiran tabung serta sebagai sumber pendapatan PTPTN untuk memberi pinjaman kepada pelajar lain pada masa depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ditemui selepas majlis pelancaran Transformasi Pengajian Tinggi di sini mengesahkan bahawa kadar penurunan itu 'amat menyenangkan'.
"Kajian semula terhadap caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN itu kini dalam peringkat akhir.
"Saya akan cuba membentangkannya pada mesyuarat Kabinet minggu depan sebelum mengumumkan secara rasmi," katanya.
Kajian semula terhadap caj perkhidmatan PTPTN itu telah dimulakan sejak April lalu bagi memberikan keselesaan kepada peminjamnya.