Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

05 Januari 2011

Selayaknya subjek sejarah diwajibkan


Pada 23 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan menjadi subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.Ini amat dialu-alukan sbb generasi sekarang semakin tiris pengetahuan, kefahaman dan kesedaran sejarah mereka. Itu yg menyebabkan sewenang2nya mereka pertikai hal2 yg berkaitan kontrak sosial. Berikut adalah tulisan Dr Zainal Abidin Borhan (UM) yg boleh dikongsikan bersama:

Mewajibkan mata pelajaran SejarahUtusan Malaysia Online 4/1/2011
SEJARAH adalah intipati ketamadunan atau peradaban. Melalui sejarah, kita sedar mengenai kewujudan atau keberadaan identiti sesebuah negara, masyarakat, kebudayaan dan manusia. Dalam bahasa mudah, sejarah memperkatakan hakikat asal-usul. Secara filosofis sejarah cuba menjawab persoalan siapakah kita atau siapakah manusia.

Menolak sejarah atau meremehkan sejarah bermakna mempersenda kewujudan manusia, masyarakat dan negara. Melalui sejarah negara mampu melahirkan warganegara berjiwa besar yang yakin dengan asal-usul dan tamadun serta kekal dengan identiti.

Cadangan mewajibkan mata pelajaran Sejarah di semua peringkat persekolahan sudah lama dikemukakan. Ia dibangkitkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif pelbagai pihak termasuk sayap pemuda DAP, DAPSY. Ia dibahaskan dalam perhimpunan tahunan Gerakan.

Gapena menyokong cadangan mensyaratkan wajib lulus untuk mata pelajaran sejarah dan mengalu-alukan langkah UiTM mensyaratkan wajib lulus sejarah bagi pengambilan sesi 2011.Rektor Kolej Universiti Islam Melaka, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yusuf Hashim mencadangkan supaya pengajaran sejarah lebih inovatif, kreatif dan interaktif. Fokus kepada peristiwa, tarikh dan periodisasi (zaman) serta tokoh-tokoh dikatakan terlalu 'kering' dan membosankan. Justeru kebijaksanaan dan kreativiti guru diperlukan untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih diminati pelajar.

Dokumentari sejarah dan animasi mungkin boleh digunakan untuk menarik minat dan fokus para pelajar kepada subjek ini. Contohnya, bagi topik kemerdekaan dokumentari terbitan RTM dan Filem Negara digunakan untuk membantu imaginasi pelajar supaya lebih memahami kemerdekaan.

Guru mata pelajaran sejarah perlu memiliki daya faham dan interprestasi tinggi tentang sejarah. Ini kerana sejarah bukan sekadar butiran fakta, tarikh, sebab dan akibat tetapi menuntut penghuraian makna. Cara ini para pelajar faham makna sebenar sesuatu peristiwa sejarah.

Di sekolah, terdapat pihak yang beranggapan mata pelajaran sejarah tidak memberi apa-apa kelebihan dalam kerjaya dan masa depan pelajar. Soalan 'mahu kerja apa jika mendalami bidang sejarah' sering dibangkitkan. Ini menyebabkan subjek Sains dan Teknologi, Ekonomi, Perakaunan dan Perdagangan lebih menarik minat para pelajar dalam merangka masa depan dan kerjaya masing-masing.

Bukan sahaja Sejarah, subjek Kesusasteraan Melayu juga menghadapi nasib yang sama kerana dikatakan tidak memiliki nilai ekonomi. Tanggapan sedemikian menggambarkan jiwa manusia yang kontang. Semuanya diukur dari sudut material.

Wacana Melayu lupa sejarah atau orang Malaysia lupa sejarah cuma relevan apabila ada kepentingan tertentu. Ia tidak pernah dilihat secara holistik dalam proses kenegaraan, kewarganegaraan mahupun pemerintahan.Pandangan menolak kepentingan subjek Sejarah adalah pandangan secara halus mahu menghapuskan rantaian ratusan atau ribuan tahun sejarah Melayu atau Malay Nation (negara-bangsa Melayu).

Isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga secara halus menghancurkan bahasa Melayu sebagai paksi peradaban dan ketamadunan Melayu. Menolak mata pelajaran sejarah dan menyokong PPSMI adalah satu penderhakaan kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Subjek sejarah adalah pemahaman mengenai ideologi kenegaraan. Mata pelajaran sejarah bukan sekadar peristiwa yang terjadi dalam kerangka masa dan ruang kehidupan tetapi mengandungi persoalan integrasi (perpaduan), normatif (nilai-nilai), falsafah, pengajaran dan pendidikan.

Ini membolehkan setiap warganegara belajar dan faham mengenai wujud dan letak dirinya dalam masa dan ruang tersebut. Contohnya, Qisasul Anbia atau Sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar menerangkan perjalanan sejarah Rasul-Rasul dan para Nabi tetapi persoalan iman dan takwa.Memahami sejarah Kesultanan Melayu, sejarah perjuangan kebangsaan dan sejarah kolonialisme ada hubungan dengan ketamadunan dan peradaban.

Meraikan ulang tahun perkahwinan, hari kelahiran atau upacara menziarahi kubur ada hubungan akrab dengan sejarah. Secara sedar atau tidak manusia adalah makhluk sejarah sejak lahir sehingga mati kerana menempuh proses sejarah.Peradaban dan ketamadunan negara memiliki sejarah yang panjang. Ia bukan sekadar peradaban kontemporari atau terkini tetapi bermula dan bertapak dari zaman pra-sejarah.

Galeri dan kompleks pra-sejarah di seluruh negara seperti Kota Tampan di Lenggong, Perak sepatutnya menjadi salah satu lokasi penting dalam lawatan sambil belajar para pelajar.Muzium dan arkib negara di negeri-negeri perlu digembeling sebagai muzium dan arkib pendidikan sejarah.

Sejarah Kebangsaan negara bermula dari zaman pra-sejarah hingga kini. Perjuangan menuntut pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, menentang penjajahan, pertumbuhan dan pembinaan semangat kebangsaan oleh anak-anak watan dan pribumi adalah antara tema-tema penting dalam identiti kebangsaan.

Seandainya bangsa Malayan ciptaan British melalui Malayan Union dan Republik Malaya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan sekutu mereka dikaji ia adalah usaha memusnahkan negara-bangsa Melayu. Apabila British menyerah kembali Persekutuan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957, bererti British mengembalikan hak pertuanan dan ketuanan negara-bangsa Melayu.

Pelajaran sejarah juga berperanan memberi makna kepada perpaduan yang sepatutnya menjadi cara hidup, pandangan hidup dan pandangan dunia setiap rakyat dan waganegara Persekutuan Malaysia. Mempelajari penubuhan Persekutuan Malaysia 1963, bererti mempelajari bagaimana penyatuan dan perpaduan integrasi nasional antara Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia Barat) dengan Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur).

Kemerdekaan adalah antara wadah perpaduan dan penyatuan antara wilayah. Tonggak perpaduan ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia serta Rukunegara. Rukunegara adalah lambang kepada konsensus atau musyawarah kebangsaan yang telah diterima secara kolektif dan diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Malaysia pada 1970.

Musyawarah adalah cara hidup kita, justeru apabila direnungi kontrak sosial yang dilambangkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah kesan dari musyawarah bersama antara rakyat dan warganegara Malaysia. Penubuhan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN) adalah berteraskan musyawarah. Tanpa musyawarah dan kewarasan tidak mungkin UMNO akan memberi MCA lebih kerusi parlimen kepada MCA pada pilihanraya 1955.

Dasar Pelajaran Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, bahasa pengantar dalam bahasa kebangsaan di semua peringkat pelajaran atau pendidikan termasuk ke peringkat ijazah tinggi di universiti-universiti adalah instrumen perpaduan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Buku Negara, Kempen Budi-Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Kemerdekaan dan sebagainya adalah di antara instrumen perpaduan dari sudut sosio-budaya.

Satu masa dahulu terdapat tanggapan kemerdekaan negara adalah kemerdekaan setengah masak kerana tanpa pertumpuhan darah atau tanpa revolusi. Namun kita merdeka dengan kecekapan dan kebijaksanaan perundingan, mata pena dan mata hati. Tanpa menumpahkan setitis darah. Anak watan dan pribumi terpaksa menjejak pihak yang anti kemerdekaan di dalam hutan supaya negara aman makmur walau mereka terkorban demi ibu pertiwi.

Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Wawasan 2020, Pelan Transformasi Ekonomi serta lain-lain adalah sebahagian daripada tindakan dan pendekatan perpaduan melalui wadah sosio-ekonomi.Rasa kebersamaan yang berteraskan kesedaran kebangsaan akan mengukuhkan identiti kebangsaan. Maka mewajibkan pendidikan sejarah perlu diperluaskan ke semua peringkat hatta untuk menjadi birokrat, wakil rakyat dan menteri. Ia menggambarkan sejauh mana pengetahuan dan pemahaman kepada sejarah kebangsaan, apatah lagi untuk menjadi warganegara.
PROF DATUK ZAINAL ABIDIN BORHAN ialah Setiausaha Satu Gapena

Tiada ulasan: