Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

31 Januari 2011

Pergolakan di Mesir- iktibar


KAHERAH 30 Jan. - Aktivis Mesir, Mohamed ElBaradei menyifatkan pelantikan Naib Presiden dan Perdana Menteri baru yang dibuat Presiden Hosni Mubarak sebagai tidak berguna dan tidak menurut apa yang dituntut oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang mahu pemimpin itu menamatkan pemerintahan selama 30 tahun.

Kenyataan pemimpin pembangkang Mesir itu dibuat selepas Mubarak, 82, menamakan bekas ketua risikan tentera, Omar Suleiman sebagai Naib Presiden buat kali pertama dan bekas Menteri Penerbangan Awam, Ahmed Shafiq sebagai Perdana Menteri semalam."Hosni Mubarak tidak mendengar permintaan rakyat. Apa yang dibuatnya hanya perubahan melibatkan beberapa individu sedangkan kita bercakap tentang perubahan rejim.

"Rakyat Mesir menyatakan satu suara, mereka mahu Presiden Mesir berundur," kata ElBaradei, 68, yang menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak berguna kepada televisyen Al-Jazeera semalam.

Bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menyeru pembentukan sebuah kerajaan peralihan baru supaya satu pilihan raya adil dapat dilaksanakan.

ElBaradei berkata, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan."Saya hormatkan Suleiman dan Shafiq tetapi menggantikan individu tertentu tidak cukup.

"Saya mahu Mubarak dan rejimnya meninggalkan Mesir secepat mungkin. Itu yang terbaik bagi Mesir dan mereka," katanya.Reformis Mesir itu menegaskan tindakan kerajaan yang cuba menidakkan kemahuan orang awam hanya akan memburukkan lagi keselamatan negara dan Mubarak perlu dipertanggungjawabkan di atas keadaan itu."Presiden perlu dipilih oleh rakyat. Sudah tiba masanya untuk sesuatu rejim berundur sekiranya ia tidak memahami kehendak rakyat. Rakyat mahukan pemerintahan baru, jika tidak Mesir akan tumbang," katanya. - REUTERS

Melayu Singapura...bagaimana masa depannya

Dipetik darpd KOSMO:

Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.

Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India. Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum. "Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya. "Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam. Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.

Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya. Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai. "Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.

Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing. beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.

"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.

Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama. "Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.

Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah . - AFP

28 Januari 2011

amat mendukacitakan


Konflik dan perdebatan tentng novel Interlok ditamatkan dgn keputusan yg menyedihkan ini. Bagaimana dgn lambakan cetakan yg byk pastu nk tampal lak. Adakah ini jalan terbaik. Jika dikekalkan interlok (pd saya) tanpa sebarang perubahan , ia bukan bermakna org Melayu jaguh/amat berkuasa tetapi lebih kpd ketegasan dan sifat menghormati serta memahami secara ilmiah bukan emosi. Dgn jolokan dan panggilan itulah (yg dsebut dlm Interlok - paria) , mk muncul org2 spt Ananda krishna, m.rajagopal, R.Arumugam, s. samy vellu, m.kaveas, m.murugiah dan ahli2 akademik d negara ini. Fikirkanlah

Interlok kekal digunakan, pindaan pada bahagian sensitif
27/01/2011 4:36pm

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

"Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini."Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat,” katanya.Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini. – Bernama

Berikut pula petikan drpd Malaysiakini.

Hindu Sangam kecewa

Malaysia Hindu Sangam (MHS) amat terkejut dan benar-benar kecewa dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa novel 'Interlok' akan dikekal dalam sukatan kesusasteraan Melayu bagi tingkatan lima.

"(Keputusan itu dibuat) walaupun banyak bantahan dari pelbagai pihak dalam masyarakat India - yang meragkumi ahli akademik dan NGO - yang keras membantah kandungan dalam beberapa bahagian novel tersebut, yang berunsur menghina," kata presiden MHS, RS Mohan.Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, MHS tidak menyokong novel tersebut yang akan dibaca oleh ratusan ribu pelajar di seluruh negara.

Mohan berkata, memandang sebahagian besar guru yang mengajar Sastera Melayu adalah bukan India, maka mereka tidak akan dapat menjelaskan penggunaan kata-kata menghina oleh penulis dan beberapa kenyataan mengelirukan dalam novel tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan kementerian berkenaan sebagai bercanggah sepenuhnya terhadap konsep '1 Malaysia serta tidak akan membantu perpaduan antara kaum di negara ini.

Menurutnya, MHS akan terus berjuang supaya novel 'Interlok' ditarik balik daripada sukatan kesusasteraan Melayu bagi tingkatan 5.MHS juga, katanya, akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan dan menyelesaikan itu tersebut.

Selain itu, kata Mohan, MHS akan mengadakan dialog dengan NGO India Sabtu ini di pejabatnya di Petaling Jaya.Sesi dialog itu juga, tegasnya, akan turut membincangkan isu-isu serius lain yang dihadapi masyarakat India serta menyediakan memorandum bersama untuk diserahkan kepada perdana menteri.

11 Januari 2011

Perdebatan karya sasterawan negara-Novel Interlok


Sejarah tidak boleh dipadam walau sepahit manapun dan walau sedahsyat manapun ia. Mengingati sejarah bukan bererti mengunkit tetapi sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan, mengulangi keperitan akibat tindakan dan perlakuan lalu sama ada kita mangsa atau pemangsa. Justeru, dlm kes novel interlok tidak seharusnya rasa terhina kerana ia adalah realiti ketika itu. Asal sahaja kita kini tidak menjadi manusia seperti mereka dan tidak berfikir seperti mereka atau tidak melakukan tindakan seperti mereka. Siapapun sepatutnya boleh menerima perkara yang lepas telah menjadi sejarah tetapi bukan bermakna sejarah itu tidak perlu diberitahu atau merasa malu. Ini kerana orang terkemudian perlu tahu sejarah terdahulu supaya mereka dapat pengajarannya bukan untuk menambah kebencian atau rasa rendah diri atau rasa terhina. Berikut adalah pendapat yang perlu difikirkan:

Awang Sarian: Abdullah tak bohong fakta sejarah(Laporan Bernama)
Kewujudan kasta yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam novelnya, Interlok, bukan suatu bentuk penghinaan kepada mana-mana kaum malah merupakan realiti pada zaman berkenaan.

Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu, Malaysia-China di Foreign Studies University (BFSU) China Beijing Prof Awang Sariyan berkata golongan kasta itu dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka. Beliau berkata Sasterawan Negara itu ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri.

"Novel Interlok adalah merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk orang dari India memang terakam dalam karya-karya ilmiahnya," kata Awang kepada Bernama menerusi e-melnya di Besut hari ini. Beliau diminta mengulas tentang desakan golongan tertentu yang mahukan novel Interlok diharamkan daripada diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia tingkatan lima bermula tahun ini.

Mereka mendakwa novel berkenaan mempunyai elemen-elemen yang menghina kaum India di negara ini. Beliau berkata Abdullah tidak membohongi fakta sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah.Menurutnya konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Sehubungan dengan itu Awang meminta supaya semua pihak membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah. Katanya, perkara tersebut akan bertambah rumit lagi jika isu itu dikaitkan pula dengan perhitungan politik yang sempit.

Interlok’ sesuai digunakan - Iksep12/01/2011
MELAKA, 12 Jan. - Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) berpandangan Interlok sesuai dijadikan salah sebuah novel untuk komponen sastera di sekolah kerana kandungannya berdasarkan fakta sejarah.

Justeru, kata Pengurus Besar Iksep Datuk Aziz Ujang, Kementerian Pelajaran harus bertegas dalam isu tersebut dan tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu penggunaan buku itu dalam pengajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima bermula tahun ini ditarik balik.“Secara logik dan rasional, saya ingat budak-budak sekolah rendah pun boleh fikir, sudah lebih 40 tahun novel ini diterbitkan dan tidak ada masalah pun.“Tiba-tiba hari ini segelintir pihak ini bangkitkan dan memperhangatkannya menjadi isu perkauman,” katanya di sini hari ini.- Bernama

05 Januari 2011

Selayaknya subjek sejarah diwajibkan


Pada 23 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan menjadi subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.Ini amat dialu-alukan sbb generasi sekarang semakin tiris pengetahuan, kefahaman dan kesedaran sejarah mereka. Itu yg menyebabkan sewenang2nya mereka pertikai hal2 yg berkaitan kontrak sosial. Berikut adalah tulisan Dr Zainal Abidin Borhan (UM) yg boleh dikongsikan bersama:

Mewajibkan mata pelajaran SejarahUtusan Malaysia Online 4/1/2011
SEJARAH adalah intipati ketamadunan atau peradaban. Melalui sejarah, kita sedar mengenai kewujudan atau keberadaan identiti sesebuah negara, masyarakat, kebudayaan dan manusia. Dalam bahasa mudah, sejarah memperkatakan hakikat asal-usul. Secara filosofis sejarah cuba menjawab persoalan siapakah kita atau siapakah manusia.

Menolak sejarah atau meremehkan sejarah bermakna mempersenda kewujudan manusia, masyarakat dan negara. Melalui sejarah negara mampu melahirkan warganegara berjiwa besar yang yakin dengan asal-usul dan tamadun serta kekal dengan identiti.

Cadangan mewajibkan mata pelajaran Sejarah di semua peringkat persekolahan sudah lama dikemukakan. Ia dibangkitkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif pelbagai pihak termasuk sayap pemuda DAP, DAPSY. Ia dibahaskan dalam perhimpunan tahunan Gerakan.

Gapena menyokong cadangan mensyaratkan wajib lulus untuk mata pelajaran sejarah dan mengalu-alukan langkah UiTM mensyaratkan wajib lulus sejarah bagi pengambilan sesi 2011.Rektor Kolej Universiti Islam Melaka, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yusuf Hashim mencadangkan supaya pengajaran sejarah lebih inovatif, kreatif dan interaktif. Fokus kepada peristiwa, tarikh dan periodisasi (zaman) serta tokoh-tokoh dikatakan terlalu 'kering' dan membosankan. Justeru kebijaksanaan dan kreativiti guru diperlukan untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih diminati pelajar.

Dokumentari sejarah dan animasi mungkin boleh digunakan untuk menarik minat dan fokus para pelajar kepada subjek ini. Contohnya, bagi topik kemerdekaan dokumentari terbitan RTM dan Filem Negara digunakan untuk membantu imaginasi pelajar supaya lebih memahami kemerdekaan.

Guru mata pelajaran sejarah perlu memiliki daya faham dan interprestasi tinggi tentang sejarah. Ini kerana sejarah bukan sekadar butiran fakta, tarikh, sebab dan akibat tetapi menuntut penghuraian makna. Cara ini para pelajar faham makna sebenar sesuatu peristiwa sejarah.

Di sekolah, terdapat pihak yang beranggapan mata pelajaran sejarah tidak memberi apa-apa kelebihan dalam kerjaya dan masa depan pelajar. Soalan 'mahu kerja apa jika mendalami bidang sejarah' sering dibangkitkan. Ini menyebabkan subjek Sains dan Teknologi, Ekonomi, Perakaunan dan Perdagangan lebih menarik minat para pelajar dalam merangka masa depan dan kerjaya masing-masing.

Bukan sahaja Sejarah, subjek Kesusasteraan Melayu juga menghadapi nasib yang sama kerana dikatakan tidak memiliki nilai ekonomi. Tanggapan sedemikian menggambarkan jiwa manusia yang kontang. Semuanya diukur dari sudut material.

Wacana Melayu lupa sejarah atau orang Malaysia lupa sejarah cuma relevan apabila ada kepentingan tertentu. Ia tidak pernah dilihat secara holistik dalam proses kenegaraan, kewarganegaraan mahupun pemerintahan.Pandangan menolak kepentingan subjek Sejarah adalah pandangan secara halus mahu menghapuskan rantaian ratusan atau ribuan tahun sejarah Melayu atau Malay Nation (negara-bangsa Melayu).

Isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga secara halus menghancurkan bahasa Melayu sebagai paksi peradaban dan ketamadunan Melayu. Menolak mata pelajaran sejarah dan menyokong PPSMI adalah satu penderhakaan kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Subjek sejarah adalah pemahaman mengenai ideologi kenegaraan. Mata pelajaran sejarah bukan sekadar peristiwa yang terjadi dalam kerangka masa dan ruang kehidupan tetapi mengandungi persoalan integrasi (perpaduan), normatif (nilai-nilai), falsafah, pengajaran dan pendidikan.

Ini membolehkan setiap warganegara belajar dan faham mengenai wujud dan letak dirinya dalam masa dan ruang tersebut. Contohnya, Qisasul Anbia atau Sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar menerangkan perjalanan sejarah Rasul-Rasul dan para Nabi tetapi persoalan iman dan takwa.Memahami sejarah Kesultanan Melayu, sejarah perjuangan kebangsaan dan sejarah kolonialisme ada hubungan dengan ketamadunan dan peradaban.

Meraikan ulang tahun perkahwinan, hari kelahiran atau upacara menziarahi kubur ada hubungan akrab dengan sejarah. Secara sedar atau tidak manusia adalah makhluk sejarah sejak lahir sehingga mati kerana menempuh proses sejarah.Peradaban dan ketamadunan negara memiliki sejarah yang panjang. Ia bukan sekadar peradaban kontemporari atau terkini tetapi bermula dan bertapak dari zaman pra-sejarah.

Galeri dan kompleks pra-sejarah di seluruh negara seperti Kota Tampan di Lenggong, Perak sepatutnya menjadi salah satu lokasi penting dalam lawatan sambil belajar para pelajar.Muzium dan arkib negara di negeri-negeri perlu digembeling sebagai muzium dan arkib pendidikan sejarah.

Sejarah Kebangsaan negara bermula dari zaman pra-sejarah hingga kini. Perjuangan menuntut pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, menentang penjajahan, pertumbuhan dan pembinaan semangat kebangsaan oleh anak-anak watan dan pribumi adalah antara tema-tema penting dalam identiti kebangsaan.

Seandainya bangsa Malayan ciptaan British melalui Malayan Union dan Republik Malaya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan sekutu mereka dikaji ia adalah usaha memusnahkan negara-bangsa Melayu. Apabila British menyerah kembali Persekutuan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957, bererti British mengembalikan hak pertuanan dan ketuanan negara-bangsa Melayu.

Pelajaran sejarah juga berperanan memberi makna kepada perpaduan yang sepatutnya menjadi cara hidup, pandangan hidup dan pandangan dunia setiap rakyat dan waganegara Persekutuan Malaysia. Mempelajari penubuhan Persekutuan Malaysia 1963, bererti mempelajari bagaimana penyatuan dan perpaduan integrasi nasional antara Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia Barat) dengan Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur).

Kemerdekaan adalah antara wadah perpaduan dan penyatuan antara wilayah. Tonggak perpaduan ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia serta Rukunegara. Rukunegara adalah lambang kepada konsensus atau musyawarah kebangsaan yang telah diterima secara kolektif dan diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Malaysia pada 1970.

Musyawarah adalah cara hidup kita, justeru apabila direnungi kontrak sosial yang dilambangkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah kesan dari musyawarah bersama antara rakyat dan warganegara Malaysia. Penubuhan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN) adalah berteraskan musyawarah. Tanpa musyawarah dan kewarasan tidak mungkin UMNO akan memberi MCA lebih kerusi parlimen kepada MCA pada pilihanraya 1955.

Dasar Pelajaran Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, bahasa pengantar dalam bahasa kebangsaan di semua peringkat pelajaran atau pendidikan termasuk ke peringkat ijazah tinggi di universiti-universiti adalah instrumen perpaduan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Buku Negara, Kempen Budi-Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Kemerdekaan dan sebagainya adalah di antara instrumen perpaduan dari sudut sosio-budaya.

Satu masa dahulu terdapat tanggapan kemerdekaan negara adalah kemerdekaan setengah masak kerana tanpa pertumpuhan darah atau tanpa revolusi. Namun kita merdeka dengan kecekapan dan kebijaksanaan perundingan, mata pena dan mata hati. Tanpa menumpahkan setitis darah. Anak watan dan pribumi terpaksa menjejak pihak yang anti kemerdekaan di dalam hutan supaya negara aman makmur walau mereka terkorban demi ibu pertiwi.

Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Wawasan 2020, Pelan Transformasi Ekonomi serta lain-lain adalah sebahagian daripada tindakan dan pendekatan perpaduan melalui wadah sosio-ekonomi.Rasa kebersamaan yang berteraskan kesedaran kebangsaan akan mengukuhkan identiti kebangsaan. Maka mewajibkan pendidikan sejarah perlu diperluaskan ke semua peringkat hatta untuk menjadi birokrat, wakil rakyat dan menteri. Ia menggambarkan sejauh mana pengetahuan dan pemahaman kepada sejarah kebangsaan, apatah lagi untuk menjadi warganegara.
PROF DATUK ZAINAL ABIDIN BORHAN ialah Setiausaha Satu Gapena

Selamat Memulakan sesi baru Jan-April 2011


Isnin 3/1/2011 telah bermula sesi baru di uiTm. Selamat datang kpd para pelajar baru dan lama dan selamat kembali kepada para pelajar ke rutin harian. Moga result sem lepas semuanya baik dan sem ini lebih baik. peringatan kepada para pelajar juga supaya membuat pendaftaran kursus terutama pelajar baru degree. Sebarang masalah perlu rujuk ke fakulti.Tarikh akhir validasi ialah 8 Februari. 29 Jan- 6 Feb 2011 semester break. SIngkat benar sem kali ni.