Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

12 Februari 2009

CIRI PERBEZAAN MALAYAN UNION DAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

3.0 SEJARAH MALAYAN UNION (1946) DAN PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (1948)
Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu bermula dengan usaha awal pihak British merancang menjadikan Negeri-negeri Melayu sebagai ‘jajahan Takluk (Koloni) Britain’ sebaik sahaja Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia ke II, melalui rancangan pembentukan Malayan Union.

3.1 Penubuhan Malayan Union
Pada 10 Oktober 1945 kerajaan Inggeris mengemukakan Kertas Putih untuk melaksanakan satu sistem pentadbiran baru yang dikenali sebagai Kesatuan Malayan di Tanah Melayu. Sir Harold Mac Michael dilantik untuk mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu. Bagaimanapun perancangan British sebenarnya telah dibuat seawal 1942 apabila British menubuhkan “Unit Perancangan Tanah Melayu” di United Kingdom. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan diketuai oleh Mejar General Ralp Hone Hone (Asnarulkhadi Abu Saman dan Jayum A.Jawan 1997: 50; http://ms.wikipedia.org/wiki/Malayan_Union). Pada bulan Januari 1946 kerajaan Inggeris meluluskan perlembagaan Malayan Union. Malayan Union mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis; dan Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) manakala Singapura menjadi tanah jajahan berasingan (Ja’afar Onn 2007: 1).

Antara sebab Malayan Union diperkenalkan adalah seperti berikut (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005:51-52, Zaid Ahmad et.al 2006: 50):
1. untuk memelihara kepentingan Inggeris di Tanah Melayu
2. untuk membentuk pentadbiran yang sistematik di Tanah Melayu dengan menyeragamkan pentadbiran di bawah Malayan Union
3. untuk menjimatkan kos pentadbiran di negeri-negeri Melayu
4. untuk menyediakan penduduk Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri.
5. British menyimpan perasaan anti-Melayu kerana orang Melayu memberi kerjasama dengan Jepun sebelum ini. Malayan Union dianggap dapat mengurang dan mengawal kuasa orang Melayu.


3.1.1 Penentangan Terhadap Malayan Union
Penentangan yang hebat daripada orang Melayu menyebabkan Malayan Union kemudiannya dibubarkan dan ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

3.1.2 Penubuhan UMNO
Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Datuk Onn Ja’far telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk mengadakan tunjuk perasaan di seluruh bandar utama seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Alor Star. Kongres ini juga seterusnya mengisytiharkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk memelihara kepentingan orang Melayu pada 11 Mei 1946. Kongres juga mengisytiharkan perjanjian-perjanjian Sir Harold Mac Michael adalah tidak sah dan mendesak Malayan Union dimansuhkan.

4.0 CIRI-CIRI PERBEZAAN MALAYAN UNION 1946 DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948
Terdapat perbezaan yang jelas antara Malayan Union dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada keduanya.

4.1 Ciri-ciri Malayan Union
Antara ciri-ciri yang dicadangkan dalam Malayan Union ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005:52; Asnarulkhadi Abu Saman dan Jayum A.Jawan 1997: 51; Zaid Ahmad et.al 2006: 47-48):

1. Ia terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah pemerintahan Gabenor British. Gabenor ini dibantu oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Undangan Persekutuan.
2. Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang diberi kuasa penuh terhadap perkhidmatan awam. Beliau dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Kerja.
3. Kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan baginda diberikan peranan sebagai penasihat Gabenor dan Ketua Majlis Penasihat Melayu. Sultan hanya sebagai satu gelaran dan mereka hanya bersuara dalam soal yang menyentuh agam Islam dan adat resam Melayu.
4. Kerakyatan adalah berdasarkan prinsip jus soli iaitu kerakyatan Tanah Melayu diberikan kepada:
a. Orang asing yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 akan diberi kerakyatan
b. Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union. Kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun yang ibu bapanya warganegara turut diberi kerakyatan.
5. Kerakyatan melalui permohonan diberikan kepada golongan berikut:
a. Mereka yang bermastautin selama lima tahun daripada lapan tahun terdahulu semasa permohonan dibuat
b. Berkelakuan baik dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu
c. Mengangkat sumpah taat setia dan berjanji untuk kekal bermastautin di Malayan Union atau Singapura.
6. Singapura tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union tetapi dikekalkan sebagai tanah jajahan Inggeris dengan mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat Undangan yang berasingan.
Kesimpulannya, cadangan pembentukkan Malayan Union ini jelas merugikan masyarakat Melayu terutama dari segi kerakyatan melalui prinsip jus soli. Malayan Union kemudiannya mendapat tentang hebat daripada orang Melayu dan sebahagian kecil sahaja dari orang bukan Melayu. Antara sebab-sebab penentangan ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005:52-53):
a. Kehilangan kedaulatan raja-raja
b. Pemberian kewarganegaraan secara jus soli. Ia akan menjejaskan majoriti orang Melayu yang akhirnya menjejaskan ekonomi dan politik mereka serta hak istimewa Melayu juga terancam.
c. Malayan Union digubal tanpa meminta pandangan orang Melayu
d. Cara Sir Harold Mac Michael mendapatkan tanda tangan raja-raja Melayu tidak disukai. Beliau dikatakan menggunakan kekasaran dan paksaan.

4.2 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948
Malayan Union kemudiannya mendapat tentangan hebat orang Melayu daripada seluruh Tanah Melayu bermula dari Johor hingga ke utara tanah air. Respon daripada penubuhan Malayan Union ini juga UMNO kemudiannya ditubuhkan pada 11 Mei 1946, bukan sahaja menentang Malayan Union tetapi juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Namun pihak British tetap isytiharkan Malayan Union pada 11 April 1946 namun dipulaukan oleh orang Melayu. Melihat kepada penentangan yang hebat itu Inggeris akhirnya membubarkan Malayan Union kerana yakin tanpa sokongan orang Melayu ia tidak akan berjaya. Malayan Union kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
4.2.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja 1946
Bulan Julai 1946 kerajaan British telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja untuk menggubal perlembagaan baru bagi menggantikan Perlembagaan Malayan Union. Antara ciri jawatankuasa ini ialah:
a. terdiri daripada 4 wakil raja-raja Melayu, 2 wakil UMNO dan 6 pegawai British
b. Jawatankuasa ini bertanggung jawab merangka sebuah perlembagaan baru yang boleh diterima oleh orang Melayu
c. British menubuhkan pula Jawatankuasa Perundingan pada Disember 1947- terdiri daripada orang Eropah, Cina dan India, tujuannya untuk dapatkan orang bukan Melayu mengenai perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

4.2.2 Ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan
Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Antara ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005: 54-55; Zaid Ahmad et.al 2006: 50-51):

1. Sembilan buah negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka terlibat di dalam Persekutuan. Namun Singapura kekalkan dibawah jajahan British.
2. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan.
3. Majlis Mesyuarat Persekutuan akan dianggotai oleh 17 ahli iaitu 7 ahli majlis rasmi, 7 ahli tidak rasmi dan 3 ahli ex-officio.
4. Majlis Undangan Persekutuan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada:
a. 14 ahli rasmi
b. 9 orang Yang Dipertua Majlis Undangan Negeri
c. 2 wakil Majlis Mesyuarat Negeri Melaka dan Pulau Pinang
d. 50 ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum asing
5. Sultan-sultan diberi semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri.
6. Syarat kewarganegaraan diketatkan iaitu seseorg pemohon mestilah lahir di Tanah Melayu dan telah bermastautin selama 8 – 12 tahun. Seorang pemohon asing mestilah bermastautin selama 15 tahun . Umur minimum bagi kedua-dua situasi tersebut adalah 18 tahun dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang baik.
7. Orang Melayu diberi hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera dan mempunyai perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
8. Jawatan Menteri Besar diwujudkan untuk menggantikan jawatan residen British dan kuasa kerajaan negeri diperluaskan meliputi kewangan, kesihatan dan kerajaan tempatan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1948 ini, kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan walaupun tiada lagi kuasa mutlak. Malah syarat kewarganegaraan juga diperketatkan bagi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Dengan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 ini British kemudiannya menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dengan tujuan memberi latihan dan pengalaman kepada rakyat tempatan kepada sistem demokrasi dan berkerajaan sendiri. Dalam usaha merintis kemerdekaan, pilihan raya bandaran kemudiannya dilaksanakan bagi memberi pengalaman kepada sistem dan perjalanan pilihan raya. UMMNO, MCA dan MIC kemudiannya bergabung membentuk Perikatan.

5.0 KEMERDEKAAN NEGARA DAN PERPADUAN MASYARAKAT



Perlembagaan Persekutuan yang terbentuk pada 1948 sebenarnya telah menjadi titik tolak kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Syarat utama pihak Inggeris untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu ialah tiga kaum utama (Melayu, Cina dan India) mesti menunjukkan kemuafakatan yang tinggi serta boleh bekerja sama dalam mentadbir negara. Syarat ini telah dipenuhi oleh Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) apabila parti Perikatan telah berjaya memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan raya Umum yang pertama pada 1955. Ia kemudiannya merintis kepada perbincangan dua belah pihak antara British dan Tanah Melayu (melalui Perikatan) yang dikenali sebagai Rundingan London.



Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan 1956 seperti yang termaktub dalam Perjanjian London telah diberi tanggung jawab untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan Persekutuan 1957 kemudiannya dipersetujui dan antara lain menyatakan Ketua Negara adalah Yang Di Pertuan Agung yang akan dilantik dari sembilan buah negeri, manakala Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri yang dilantik dari parti yang mempunyai jumlah terbesar di Dewan Rakyat.

Sepanjang 50 tahun kemerdekaan negara, para pemimpin terdahulu hingga kini sering menekankan pentingnya menjaga sensitiviti antara kaum dan sentiasa menghormati permuafakatan yang telah dibuat semasa merdeka dahulu iaitu unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan atau kontrak sosial.

6.0 RUMUSAN

Pembentukan Malayan Union ternyata menjadi pembangkit semangat yang lebih kental serta kesungguhan yang padu terutama di kalangan orang Melayu untuk menentang penjajah dan akhirnya menuntut kemerdekaan. Malayan Union yang banyak merugikan orang Melayu serta menjejaskan kedaulatan raja-raja Melayu akhirnya berjaya dibatalkan dengan penentangan yang hebat sehingga menyebabkan British menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk perlembagaan baru yang diisytiharkan pada 1948. Menjelang kemerdekaan 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dirangka semula pada 1957 melalui Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada 1956. Melalui perbincangan dalam Suruhanjaya Reid ini yang mengambil kira pandangan orang Melayu dan bukan Melayu yang akhirnya permuafakatan dibentuk atau dipersetujui yang dikenali sebagai Kontrak Sosial. Melalui permuafakatan Kontrak Sosial ini, hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan. Ia berkaitan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera (dalam ekonomi dan pendidikan), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai bahasa rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu dilindungi melalui perlembagaan.

Permuafakatan inilah yang kemudiannya menjadi tulang belakang kepada hubungan antara kaum di Malaysia dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah dua entiti yang sangat ketara berbeza, berdasarkan ciri-ciri yang telah dijelaskan. Malayan Union jelas menunjukkan usaha British untuk mengawal kuasa orang Melayu dan cuba untuk mengenepikan kedaulatan orang Melayu yang diketahui memang suatu institusi yang sangat dihormati dan penting bagi orang Melayu. Perpaduan yang di tunjukkan oleh orang Melayu ketika itu di bawah pimpinan Datuk Onn Ja’afar berjaya memelihara hak Melayu. Kekuatan orang Melayu pada ketika itu berjaya menggugat Inggeris sehingga mereka terpaksa memansuhkan Malayan Union dan bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terbentuklah perlembagaannya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih atas maklumat yang berguna..

Tanpa Nama berkata...

info yang ringkas dan padat serta mudah difahami. Syabas!

Unknown berkata...

Terbaik untuk pelajar kolej

Tanpa Nama berkata...

ouh faham