Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

01 Oktober 2010

Lihat pendapat tauke wawasan 2020


Wawasan 2020 tidak mampu dicapai - Tun M
(sumber utusan online)
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Wawasan 2020 tidak mungkin dapat dicapai tepat pada masanya jika kerajaan tidak mengubah landasan ekonomi negara, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, jika Malaysia tetap mahu bergelar negara maju pada tahun 2020, beberapa strategi perlu dilaksanakan.

"Status negara maju boleh dicapai oleh Malaysia tetapi bukan pada tahun 2020, mungkin lewat dari tarikh itu.

"Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI)," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010 di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang juga pengasas kepada Wawasan 2020 berkata, FDI tidak lagi relevan buat masa ini kerana pelabur asing hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan negara di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara ini.

"Malaysia tidak akan maju jika terus bergantung kepada FDI.

"Pelabur asing hanya mementingkan keuntungan, jadi mereka memilih negara lain yang lebih murah, kita tidak akan mampu bersaing walaupun semakin banyak sektor diliberalisasikan," tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia memperkenalkan FDI bagi mengatasi masalah pengangguran pada waktu itu tetapi pada hari ini ia membawa lebih banyak implikasi negatif terhadap negara.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan untuk memberi fokus kepada pelaburan langsung domestik (DDI)

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara hanya akan berlaku dari dalam.

Dengan itu, kerajaan perlu melakukan audit dan kaji selidik mengenai syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing bagi memastikan mereka mendapat peluang yang sewajarnya.

"Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini," katanya.

Tambah Dr. Mahathir, selain menggalakkan DDI, pertumbuhan ekonomi negara juga patut kekal pada kadar 7 hingga 8 peratus bagi memastikan status negara maju dapat dicapai dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

Bagaimanapun, ketika sesi soal jawab diadakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bangun bagi menegaskan bahawa kerajaan ketika ini sedang dalam melaksanakan perubahan kepada landskap ekonomi dengan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, kerajaan ketika ini sedar tentang kepentingan DDI dan buktinya 73 peratus daripada 141 pelaburan yang dianalisis di makmal PEMANDU adalah pelaburan tempatan.

"Kerajaan sangat selektif terhadap FDI, hanya pelaburan yang berkualiti sahaja akan diterima," katanya.

Berbeza pendapat dengan Dr. Mahathir, walaupun mengakui bekas Perdana Menteri itu adalah idolanya, Idris sangat optimis Wawasan 2020 dapat dicapai tepat pada masanya bersandarkan kepada pelbagai pelan transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas kenyataan Idris, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan kerajaan patut memberi lebih banyak peluang kepada pelabur dan usahawan tempatan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menggalakkan DDI.

Tiada ulasan: