Pesanan Pemimpin Terdahulu


"Saya dahulu telah berkata, kita hendaklah berbaik-baik dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi di sebalik itu kita mesti ingat bahawa negara ini negara Melayu yang mesti kita utamakan".- Dato' Onn
Jaafar


"Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita itu tercapai dengan sempurnanya". - Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

06 Oktober 2010

Bahasa-Kenapa Lambat?Biar Lambat Asal Selamat..Ye ke..OKTOBER BULAN BAHASA

Bengkel Bahasa Melayu yg sy hadiri minggu lepas (29/9), penceramah tersebut adalah penulis teks ucapan kpd TPM utk majlis pelancaran bulan Bahasa. Dia ada sebut tentg kuasa PBT yg perlu dilaksanakan utk martabat bahasa kita. Lepas ni, mrk akan denda sesiapa shj yg menyalahgunakan bahasa..wah!kayo pak cik. Berikut adalah petikan laporan pelancaran bulan bahasa.

Perkasakan bahasa kebangsaan

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 5 Okt. - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dengan menguatkuasakan Undang- Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika PBT menguatkuasakan undang-undang itu yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

"Penguatkuasaan undang-undang ini juga boleh mengelak kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Muhyiddin juga menyeru semua pemimpin syarikat korporat supaya tidak meminggirkan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.

''Penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan perlulah diberi penegasan," katanya.

Tindakan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, penting kerana ia bertujuan memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menjelaskan, pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberi tumpuan pada dua perkara iaitu penegasan semula Dasar Bahasa Negara dan penyelesaian masalah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

''Penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara. Peneguhan sikap pengguna bahasa juga hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program Bulan Bahasa Kebangsaan.

''Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa di kalangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang kurang diungkapkan akan menghilangkan kewibawaannya. Kita khuatir bahasa Melayu yang kita sanjung selama ini akan hilang akarnya," kata beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berharap rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan selaras dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan - 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara.

Katanya, hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara.

Dalam sidang akhbarnya, ketika ditanya apakah telah sampai masanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, Muhyiddin berkata, penguatkuasaan undang-undang tanpa ada kerelaan diri untuk menghormati bahasa kebangsaan tidak akan mampu menjayakan matlamat yang dihasratkan.

''Kita ambil pendekatan untuk terus menggesa, menggalakkan, meningkatkan kefahaman kesedaran kerana kita tahu ia adalah satu proses yang sudah kita mulakan, tetapi sebagaimana saya sebutkan, belum lagi terhasil sepenuhnya.

''Kalau orang kata patut ada kuasa, mungkin akan menimbulkan salah faham nanti kerana masih terdapat kelemahan-kelemahan dari segi penggunaan bahasa, penggunaan undang-undang kecil yang ada pada peringkat PBT. Saya lebih berminat supaya usaha pemantapan ini kita tingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata, antara usaha terbaru yang boleh difikirkan adalah menggunakan bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa di dalam dan luar negara.

Tiada ulasan: