
Permohonan Victoria Jayaseele jadi peguam syarie ditolak
KUALA LUMPUR 17 Mac - Impian seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin (gambar) untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila permohonannya itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini.
Hakim Datuk Rohana Yusuf ketika memutuskan permohonan tersebut berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh mengenakan syarat untuk menjadi peguam syarie dan ia tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya menurut beliau, ia merupakan satu kemestian bagi memastikan perwakilan perundangan menjadi lebih efektif dan niat Parlimen adalah jelas bahawa syarat kemasukan peguam syarie tertakluk di bawah peraturan MAIWP.
Hakim tersebut berkata, peruntukan Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, tidak bercanggah dengan Artikel 5, 8(1) dan 8(2), dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak ultra vires (melampaui batasan undang-undang).
Kaedah 10 itu menurut Hakim Rohana, telah dibuat berdasarkan ruang lingkup perundangan MAIWP yang memberikan kuasa kepadanya untuk menerima sesiapa sahaja mengikut budi bicara itu.
Bagaimanapun kuasa tersebut tertakluk di bawah Kaedah 10(2) dengan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.
Syarat kelayakan tersebut bagi Hakim Rohana, untuk memastikan keberkesanan para peguam syarie dan bukannya menghilangkan peluang Victoria untuk menjadi seorang peguam cara dan peguam bela.
Pada 19 Mei tahun lalu, Victoria yang memperoleh Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil itu selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak oleh MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.
Ini kes pertama di ibu negara seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam boleh bertugas sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan